ISAZALY.WhatsApp
← Kembali ke Blog

Pascapenerbitan

Workflow 4K di Malaysia: Ramai Suka 'Shoot' 4K, Tapi Komputer Menangis

Diterbitkan: 30 Jul 2026•Oleh Tc. Isazaly Isa
▾

Workflow 4K di Malaysia: Ramai Suka 'Shoot' 4K, Tapi Komputer Menangis

Workflow 4K di Malaysia: Ramai Suka 'Shoot' 4K, Tapi Komputer Menangis

Bayangkan situasi ini: Anda baru sahaja selesai penggambaran (shooting) satu projek video komersial. Kamera yang digunakan? Sudah tentu model terkini yang boleh merakam dalam resolusi 4K, 10-bit, dengan warna log yang sangat cantik. Rasa macam shooting filem Hollywood!

Namun, apabila tiba fasa pasca produksi, anda pun memindahkan footage ke dalam komputer. Anda buka DaVinci Resolve atau Adobe Premiere Pro, tarik klip ke dalam timeline, dan tekan butang spacebar.

Tiba-tiba... playback tersekat-sekat. Frame rate jatuh ke 2 FPS. Kipas komputer riba anda mula berbunyi bising bagai enjin jet sedia untuk terbang ke bulan. Akhirnya, perisian suntingan anda crash dan skrin menunjukkan amaran "GPU Out of Memory".

Selamat datang ke realiti workflow 4K di Malaysia. Ramai yang ghairah mahukan kualiti visual yang paling tajam, tetapi terlupa bahawa "penderitaan" sebenar bermula di meja editor.


Kenapa Semua Orang Nak Shoot 4K?

Sebelum kita menghemburkan air mata melihat komputer kita "sakit", mari kita fahami dahulu kenapa resolusi 4K kini menjadi standard industri di Malaysia, malah untuk video media sosial sekalipun.

  • Fleksibiliti Rekaan Komposisi (Reframing): Dengan resolusi 4K, editor boleh melakukan crop atau zoom sehingga 200% dalam timeline 1080p (Full HD) tanpa menjejaskan kualiti visual. Sangat berguna untuk shot temu bual atau untuk menyelamatkan shot yang komposisinya kurang memuaskan.

  • Kestabilan Gambar (Stabilization): Proses menstabilkan video menggunakan kesan khas (seperti Warp Stabilizer) memerlukan perisian untuk melakukan crop pada video. Resolusi 4K memberikan lebih banyak maklumat piksel untuk tujuan ini.

  • Keperluan Klien & Platform OTT: Stesen televisyen tempatan mungkin masih menerima format HD, tetapi platform OTT seperti Netflix, Viu, dan Astro Go kini menetapkan spesifikasi penghantaran (delivery specs) dalam format 4K HDR.

Namun, ramai yang terlupa: Resolusi tinggi memerlukan tanggungjawab yang besar.


Realiti "Komputer Menangis": Di Mana Puncanya?

Masalah utama dalam workflow 4K di Malaysia bukanlah disebabkan komputer kita murah, tetapi sering kali kerana salah faham tentang teknologi video.

1. Perangkap Codec H.264 & H.265

Ini adalah kesilapan paling biasa. Banyak kamera pengguna (mirrorless) merakam dalam format compressed seperti H.264 atau H.265 (HEVC). Codec ini direka untuk penyimpanan (Delivery Codec), bukan untuk penyuntingan (Editing Codec).

Apabila anda memasukkan fail H.265 4K ke dalam perisian suntingan, CPU dan GPU komputer terpaksa bekerja keras untuk menyahkod (decode) setiap frame secara masa nyata (real-time). Ini punca utama komputer anda "menangis".

2. Isu Botol Tersumbat (Bottleneck) pada Storage

Video 4K, terutamanya jika dirakam dalam format ProRes atau RAW, memerlukan kadar pemindahan data (bitrate) yang sangat tinggi. External hardisk yang biasa tidak akan mampu menampung kelajuan pembacaan data ini. Akibatnya? Playback anda akan tersekat-sekat walaupun spesifikasi komputer anda setaraf NASA.


Solusi Pintar: Bagaimana Menguruskan Workflow 4K Tanpa Stress?

Sebagai pengamal pasca penerbitan profesional, kita tidak perlu menolak teknologi 4K. Apa yang kita perlukan adalah strategi workflow yang bijak. Berikut adalah langkah yang wajib anda amalkan:

A. Gunakan Workflow Proxy (Talian Hayat Anda!)

Jangan sesekali menyunting terus menggunakan fail asal 4K (Camera Original Media) jika komputer anda tidak berkuasa tinggi. Gunakan sistem Proxy.

  • Apa itu Proxy? Ia adalah fail pendua bersaiz kecil dan beresolusi rendah (contohnya 1080p ProRes Proxy atau DNxHR LB) yang dijana secara automatik oleh perisian suntingan anda.
  • Anda menyunting menggunakan fail proxy yang sangat ringan ini. Komputer akan berjalan lancar, malah boleh sunting di atas riba sambil minum kopi di kafe!
  • Apabila tiba masa untuk color grading dan rendering akhir, perisian suntingan akan bertukar semula ke fail 4K asal secara automatik.

B. Transcode Kepada Editing Codec

Jika anda tidak mahu menggunakan proxy, tukarkan fail H.264/H.265 anda kepada codec perantaraan (intermediate codec) yang mesra suntingan sebelum memulakan projek.

  • Pilihan Terbaik: Apple ProRes (untuk Mac) atau Avid DNxHR (untuk Windows).
  • Walaupun saiz fail akan menjadi jauh lebih besar (ini saja kelemahannya!), namun codec ini sangat mudah dibaca oleh perisian suntingan tanpa membebankan CPU anda.

C. Labur pada SSD yang Laju

Simpan semua footage aktif anda di dalam Solid State Drive (SSD) luaran, bukannya HDD biasa. SSD sekarang dah murah!

  • Gunakan SSD dengan sambungan USB-C (USB 3.2 Gen 2) atau Thunderbolt 3/4/5 yang menawarkan kelajuan pembacaan sekurang-kurangnya 1,000 MB/s (bacaan: Megabytes per second)
  • HDD mekanikal lama hanya sesuai digunakan sebagai backup jangka panjang, bukan sebagai scratch disk untuk menyunting.

D. Optimumkan Tetapan Software

Dalam DaVinci Resolve atau Premiere Pro, anda boleh menurunkan resolusi playback kepada 1/2 atau 1/4. Ini tidak menjejaskan kualiti eksport akhir, ia sekadar mengurangkan beban GPU semasa anda sedang menyusun babak.


Kesimpulan: Edit Bijak, Bukan Edit Siksa

Mengejar trend resolusi tinggi tanpa memahami workflow pasca penerbitan adalah resipi utama untuk kemurungan di hadapan komputer. Industri kreatif di Malaysia harus mula mendidik para pengarah, videografer, dan klien tentang realiti ini.

Shooting dalam format 4K memang nampak gah pada spesifikasi kamera, tetapi jika ia melambatkan proses suntingan sehingga mengganggu tarikh akhir (deadline) penyerahan tugasan, ia adalah satu kerugian pada masa dah bajet.

Gunakan teknik proxy, uruskan storan dengan betul, dan biarkan komputer anda "tersenyum" bekerja untuk anda. Selamat menyunting! Jangan jadi poyo dan cakap "Mesin aku bleh edit 8K RAW dowh!" - cubalah edit filem 90 minit, baru anda tahu langit tinggi atau rendah...

Salam Timeline Thursday.