ISAZALY.WhatsApp
← Kembali ke Blog

Pascapenerbitan

Merdeka Di Bilik Gelap: Realiti Kesihatan Mental dan Waktu Kerja.

Diterbitkan: 27 Ogo 2026•Oleh Tc. Isazaly Isa
▾

Merdeka Di Bilik Gelap: Realiti Kesihatan Mental dan Waktu Kerja.

Merdeka Di Bilik Gelap: Realiti Kesihatan Mental & Waktu Kerja

Bila tibanya bulan Ogos, perkataan "Merdeka" akan berkumandang di seluruh pelosok negara. Bendera dikibar, lagu patriotik diputarkan, dan masing-masing melaungkan semangat kebebasan. Namun, di satu sudut bangunan pejabat yang sunyi, dalam sebuah bilik berhawa dingin persis kutub utara yang gelap gelita, ada seorang insan yang sedang merenung skrin monitor dengan mata yang merah.

Ya, itulah penyunting video kita.

Di sebalik visual yang memukau di kaca televisyen, filem di pawagam, mahupun siri popular di platform OTT (Over-The-Top), wujud satu realiti yang jarang diceritakan. Hari ini, mari kita sembang santai tapi serius tentang "kemerdekaan" yang sebenar buat para pejuang di bilik suntingan: isu waktu kerja yang tidak masuk akal dan kesihatan mental yang kian terabai.


Kehidupan Di Sebalik ‘Timeline’ Yang Tiada Penghujung

Bagi seorang offline mahupun online editor, masa itu bukanlah emas; masa itu adalah render bar yang berjalan perlahan. Waktu kerja standard 9 hingga 5 petang hanyalah mitos urban dalam industri pasca produksi.

Bekerja melebihi 12 hingga 14 jam sehari adalah perkara biasa. Malah, ada yang berkhemah di studio berhari-hari demi mengejar deadline tayangan. (Macam saya untuk bulan ini!)

Kenapa situasi ini berlaku? Antara puncanya ialah:

  • Budaya "Fix it in post": Masalah semasa penggambaran (production) yang tidak diselesaikan di set, akhirnya dicampak ke riba penyunting untuk "diselamatkan".

  • Format fail "Final_v2_FINAL_FINAL_v3_confirm_OK.mp4": Proses maklum balas (feedback) daripada klien atau agensi yang sering bertukar fikiran di saat-saat akhir.

  • Sikap acuh tak acuh terhadap jadual: Perancangan jadual pasca produksi yang sering kali dihimpit rapat kerana fasa penggambaran terlajak dari jadual asal ataupun ada perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan.

Penyunting sering menjadi "penjaga gol" terakhir. Jika bola bolos (projek lambat siap), penyunting yang dipersalahkan, walaupun masalah berpunca daripada rantaian awal produksi - efek domino!


Bilik Gelap, Jiwa Kelam? Impak Terhadap Kesihatan Mental

Bekerja dalam bilik yang gelap (bagi menjaga ketepatan warna atau colour cosistency tanpa cahaya matahari semula jadi dalam tempoh yang lama, mempunyai kesan psikologi yang besar. Manusia bukan kelawar. Kekurangan vitamin D dan gangguan pada circadian rhythm (jam biologi badan) boleh mengganggu mood dan emosi seseorang. Anda boleh Google sendiri dan baca tentang hal ini! Memang serious.

Antara isu kesihatan mental yang kerap melanda penyunting tempatan termasuklah:

1. Burnout Tahap Kronik

Burnout bukan sekadar penat biasa yang boleh hilang dengan tidur sehari. Ia adalah keletihan emosi, mental, dan fizikal yang melampau akibat stres berpanjangan. Penyunting yang mengalami burnout akan hilang minat terhadap kerja kreatif mereka, merasa sinis, dan tidak lagi produktif - tiba-tiba terasa swmua yang mereka buat adalah tidak berkesan!

2. Kebimbangan Melampau (Anxiety) & Depresi

Bunyi notifikasi WhatsApp atau e-mel daripada pengarah atau penerbit pada jam 2 pagi boleh mencetuskan serangan panik. Kebimbangan tentang sama ada hasil kerja akan diterima, atau ketakutan kehilangan kerja jika enggan melakukan kerja lebih masa (OT) tanpa bayaran, sering menghantui minda mereka.

3. Sindrom Penipu (Imposter Syndrome)

Apabila terlalu lama berkurung dan membandingkan hasil kerja sendiri dengan karya hebat di luar sana (terutamanya di media sosial), penyunting mula meragui kebolehan diri sendiri. "Adakah aku betul-betul berbakat, atau aku cuma bernasib baik?"


Mengapa Isu Ini Masih Berlarutan di Malaysia?

Sebagai sebuah industri yang sedang berkembang pesat dengan kehadiran platform seperti Netflix, Disney+ Hotstar, dan Viu, standard kerja kita sepatutnya setaraf dengan kualiti global. Namun, mentaliti industri masih lagi di takuk lama.

  • Tiada Kesatuan Sekerja (Union) Yang Kuat: Tidak seperti di Hollywood yang mempunyai Motion Picture Editors Guild (IATSE Local 700) untuk menjaga kebajikan, waktu kerja, dan kadar bayaran minimum, penggiat pos-produksi di Malaysia bergerak secara sendirian (freelance) atau dalam syarikat kecil tanpa perlindungan yang kukuh. Untuk membuat Kesatuan bukanlah mudah. Banyak perkara harus diperhalusi. Sebagai permulaan, saya serta rakan-rakan seperjuangan, telah menubuhkan "MYPOST" - sebuah persatuan yang cuba memperbaiki sistem kita bekerja. Sila layari www.mypostpro.my untuk mengetahui lebih lanjut. Pengambilan ahli baru sedang giat dijalankan.

  • Normalisasi "OT Tanpa Bayaran": Kerja lebih masa dianggap sebagai satu "tangungjawab" atau "passion" demi seni. Frasa "asal boleh" dan "tolong kawan" sering digunakan untuk mengeksploitasi tenaga kerja kreatif.


Langkah Ke Arah ‘Kemerdekaan’ Minda Penyunting.

Kita tidak boleh mengharapkan industri berubah dalam sekelip mata. Perubahan harus bermula daripada diri kita sendiri, pihak pengurusan, dan juga klien.

Apa Yang Penyunting Boleh Lakukan?

  • Tetapkan Sempadan (Set Boundaries): Belajarlah untuk berkata "tidak" secara profesional. Jika feedback dihantar pada jam 11 malam, maklumkan bahawa anda akan menyelesaikannya pada keesokan pagi.

  • Amalkan Ergonomik & Rehat Pendek: Gunakan teknik Pomodoro. Setiap 50 minit bekerja, rehatkan mata selama 10 minit. Laburkan duit untuk kerusi yang menyokong tulang belakang anda atau guna meja berdiri (standing desk). Kesihatan fizikal mempengaruhi kesihatan mental.

  • Cari Komuniti: Jangan asingkan diri. Sertai komuniti seperti MYPOST untuk berkongsi masalah dan bertukar pendapat. Kadangkala, meluahkan perasaan kepada mereka yang memahami bidang kita adalah satu terapi yang sangat baik.

Apa Yang Klien & Producer Perlu Faham?

  • Hormati Kreativiti & Masa: Proses kreatif memerlukan minda yang segar. Editor yang penat tidak akan menghasilkan suntingan yang magis.

  • Rancang Jadual Dengan Realistik: Jangan janjikan tarikh hantaran (delivery date) yang mustahil kepada pihak stesen atau penaja tanpa berbincang dengan ketua bahagian pasca produksi terlebih dahulu. Saya pernah buat kerja gila, edit telemovie dalam 24jam, hantar ke stesyen ontime dan mendapat tahu bahawa tarikh tayangan telah ditunda 1 bulan kemudian!


Detik Untuk Berubah

Merdeka yang sebenar bagi seorang penyunting bukanlah sekadar cuti umum pada 31 Ogos, tetapi apabila mereka boleh menutup komputer riba pada jam 7 petang, pulang ke rumah untuk makan malam bersama keluarga, dan tidur dengan lena tanpa gangguan mimpi ngeri tentang fail projek yang corrupt.

Industri kreatif Malaysia tidak akan ke mana-mana jika kita terus melahirkan karya-karya hebat dengan cara mengorbankan kesihatan mental dan fizikal para pekerjanya.

Kepada semua karyawan pasca produksi di luar sana, selamat menyambut "kemerdekaan" minda anda. Ingat, timeline boleh disusun semula, tetapi kesihatan anda yang terjejas tiada butang Undo (CMD/Ctrl+Z). Jaga diri, dan selamat menyunting!