ISAZALY.WhatsApp
← Kembali ke Blog

Pascapenerbitan

Berapa Sebenarnya Bajet Pasca-Produksi Yang Penerbit Wajib Disediakan?

Diterbitkan: 12 Nov 2026•Oleh Tc. Isazaly Isa
▾

Kita biasa dengar kisah klasik di set penggambaran: bajet katering terlebih, sewa lori generator terlebih hari, kos pelakon tambahan melambung, dan akhirnya penerbit menepuk bahu pengarah sambil berkata, "Tak apa, benda ni kita boleh 'fix in post'!"

Namun, apabila tiba fasa Pasca-Produksi, baki bajet yang tinggal hanyalah cukup-cukup untuk beli pisang goreng dan beberapa cawan kopi ikat tepi!

Hakikatnya, Pasca-Produksi bukanlah tempat pelupusan sampah untuk menyelesaikan masalah produksi yang tertunggak. Fasa ini adalah ruang di mana filem atau drama anda sebenarnya "dilahirkan semula". Tanpa bajet yang realistik, visual 8K yang dirakam menggunakan kamera paling mahal di dunia sekalipun boleh berakhir seperti video kahwin tahun 90-an.

Jadi, berapakah peratusan dan jumlah sebenar yang wajib diperuntukkan oleh seorang penerbit? Jom kita bedah secara realistik dan berdasarkan pengalaman saya.


Formula Emas: Peraturan 15% Hingga 25%

Sebagai panduan industri tempatan dan antarabangsa, bajet Pasca-Produksi standard biasanya memakan ruang antara 15% hingga 25% daripada keseluruhan bajet produksi.

  • Drama TV Konvensional / Telefilem Bajet Sederhana: Sekitar 12% – 15%. Ini biasanya melibatkan kerja asas seperti offline editing, online mastering, basic colour correction, dan audio mixing standard stereo.

  • Filem Cereka / Drama Premium OTT (Contoh: Netflix, Viu, Prime Video): Sekitar 20% – 25%. Piawaian teknikal OTT sangat ketat. Anda memerlukan integrasi Dolby Atmos, high-end colour grading, dan pematuhan Quality Control (QC) antarabangsa.

  • Filem Aksi, Cereka Sains, atau CGI: Boleh mencecah 30% hingga 40%. Sekiranya naskhah anda memerlukan watak makhluk asing, letupan bangunan, atau penukaran latar belakang yang ekstensif, bajet VFX sahaja boleh menelan kos separuh produksi, walaupun dengan teknologi AI, semua ini harus diambil kira.

Jika jumlah bajet keseluruhan filem anda ialah RM1.5 juta, bajet selamat yang perlu "dikunci" untuk Pasca-Produksi sejak hari pertama adalah sekitar RM225,000 hingga RM375,000. Jangan sesekali usik duit ini untuk tampung kos lebihan hari penggambaran! FINAS juga ada memperuntukkan dana sehingga RM300,000 untuk filem cereka yang terpilih.

Sila rujuk: https://www.finas.gov.my/storage/funds/Dana-Pasca-Produksi.pdf


Ke Mana Sebenarnya Duit Pasca-Produksi Dibelanjakan?

Ramai penerbit menyangka Pasca-Produksi hanyalah seorang editor yang duduk di hadapan komputer selama dua-tiga bulan. Hakikatnya, ekosistem Pasca-Produksi mengandungi beberapa jabatan kritikal:

1. Editorial (Offline Editing) – 25% hingga 30% dari Bajet

Ini melibatkan bayaran untuk Ketua Editor (Lead Editor), Penolong Editor (Assistant Editor), dan kos sewaan editing suite. Penolong editor memainkan peranan besar dalam menyusun footage, audio syncing dan menguruskan metadata sebelum editor utama mula memotong babak.

2. Audio Post-Production & Sound Design – 25% hingga 30% dari Bajet

Ingat formula ini: penonton boleh memaafkan visual yang sedikit kabur, tetapi mereka akan terus tukar saluran jika audionya bingit. Jabatan audio merangkumi:

  • Dialogue Editing & Audio Cleaning: Membuang bunyi dengung pendingin hawa atau lori ayam yang lalu ketika penggambaran.

  • ADR (Automated Dialogue Replacement): Kos studio dan pelakon untuk rakam semula dialog yang rosak.

  • Foley & Sound Effects (SFX): Menghasilkan bunyi tapak kaki, geseran baju, hingga ke bunyi tumbukan padu.

  • Final Mixing: Adunan akhir dalam format Stereo, 5.1 Surround, atau Dolby Atmos.

3. Colour Grading / Digital Intermediate (DI) – 15% hingga 20% dari Bajet

Colourist bukan sekadar meletakkan penapis (filter) seperti di Instagram. Mereka menetapkan mood, menyamakan tona warna antara pelbagai jenis kamera, dan memastikan standard visual anda mematuhi spesifikasi panggung wayang (DCI-P3) atau penyiaran (Rec.709 / HDR).

4. Visual Effects (VFX) & Motion Graphics – Boleh Ubah (Variable)

Sekurang-kurangnya sediakan bajet untuk clean-up: memadam wayar keselamatan, membersihkan mikrofon boom yang termasuk dalam bingkai (frame), atau menukar nombor plat kereta. Jika ada CGI yang berat, kos ini akan meningkat secara eksponen mengikut bilangan syot (shot count). Anggaran kos VFX boleh dibuat semasa pra-produksi melalui mesyuarat khas teknikal dan juga bersama tim VFX.

5. Mastering & Deliverables – 10% dari Bajet

Fasa terakhir yang sering dilupakan. Kos ini melibatkan:

  • Penghasilan DCP (Digital Cinema Package) untuk pawagam.

  • Penghasilan fail-fail untuk preview, festival filem, OTT, broadcast dll. (versi TEXTED and TEXTLESS).

  • Penukaran fail beresolusi tinggi ke format arkib seperti LTO tape.

  • Ujian Independent QC oleh makmal Pasca-Produksi bertauliah.


3 Kos "Halimunan" Yang Kerap Memerangkap Penerbit

Selain senarai di atas, ada beberapa perbelanjaan tersembunyi yang boleh menyebabkan bajet anda burst:

  • Skor Muzik Asal (Original Score) & Pelesenan Lagu: Mengupah komposer profesional memerlukan kos berasingan daripada jurutera audio. Jika mahu menggunakan lagu popular, kos royalti penyanyi dan syarikat rakaman boleh mencecah puluhan ribu ringgit.

  • Storan Data (Data Storage & Cloud Backup): Fail penggambaran zaman sekarang bersaiz gergasi. Kos cakera keras (hard drive) gred perusahaan, sistem RAID, dan cloud backup menuntut ratusan hingga ribuan ringgit.

  • Pindaan Tanpa Henti (Infinite Revisions): Setiap kali pengarah atau penerbit mengubah fikiran selepas fasa Picture Lock, proses ini dipanggil unconforming. Ia memakan masa, tenaga, dan caj tambahan daripada pihak studio Pasca-Produksi .


Bagaimana Mengoptimumkan Bajet Pasca-Produksi ?

  1. Lantik Post-Production Supervisor Seawal Pra-Produksi:
    Bawa mereka berbincang sebelum kamera mula merakam. Mereka boleh memberitahu pengarah dan sinematografer cara terbaik merakam syot tertentu bagi menjimatkan kos VFX dan grading kelak.

  2. Hormati Fasa Picture Lock:
    Jangan sesekali menghantar projek ke fasa colour grading dan sound design selagi susunan babak (cut) belum dimuktamadkan 100%. Pindaan di saat akhir adalah punca utama bajet Pasca-Produksi membengkak.

  3. Urus Data di Set (DIT):
    Pastikan pengurusan data di lokasi dibuat dengan teliti. Metadata yang kemas, penamaan fail (file naming) yang betul, dan sandaran (backup) yang selamat menjimatkan puluhan jam kerja di bilik penyuntingan.


Kesimpulan

Pasca-Produksi bukan sekadar kos tambahan, tetapi pelaburan terakhir yang menentukan sama ada projek anda kelihatan bernilai ratusan ribu atau jutaan ringgit di layar perak.

Mengetepikan bajet yang realistik antara 15% hingga 25% bukan sahaja menyelamatkan kualiti naskhah anda, malah menyelamatkan kesihatan mental semua tenaga kerja di bilik gelap Pasca-Produksi . Rancang awal, sediakan bajetnya, dan jangan bebankan editor anda untuk 'membaiki' segala kesilapan produksi secara magik!