ISAZALY.WhatsApp
← Kembali ke Blog

Pascapenerbitan

Apakah sebenar tugas DIT? Dan kenapa ianya adalah "hero yang tidak didendang".

Diterbitkan: 04 Jun 2026•Oleh Tc. Isazaly Isa
▾

Gambar Hiasan

Siapa Sebenarnya DIT (Digital Imaging Technician) & Kenapa Mereka "Hero Yang Tidak Didendang" Di Set Filem?

Bayangkan situasi ini: Pengarah terkenal menjerit "ACTION!", pelakon menangis air mata darah sampai layak menang anugerah, letupan berlaku di belakang dengan bajet RM100,000, dan jurukamera (Director of Photography - DP) berjaya menangkap momen itu dengan pencahayaan yang sangat aesthetic.

Semua orang tepuk tangan. Gempak!

Tapi, teka apa? Semua keindahan visual itu sebenarnya hanyalah signal binari digital (1 dan 0) yang disimpan dalam sekeping kad memori kecil. Kalau kad itu rosak, hilang, atau tersalah padam... boom! RM100,000 tadi burn macam tu jer, dan pelakon kena menangis sekali lagi.

Di sinilah munculnya seorang adiwira yang tidak memakai "cape", tetapi duduk di dalam khemah atau van yang sejuk dengan komputer dan monitor berkuasa tinggi.

Memperkenalkan: DIT atau Digital Imaging Technician.

Mari kita rungkai, apa sebenarnya kerja DIT ini dan kenapa mereka ini survival kit paling penting dalam dunia pasca penerbitan (post-production) moden.


Analogi Mudah: Siapa DIT?

Bayangkan korang tengah main game Minecraft. Korang dah bina istana yang paling besar, paling cantik, ambil masa 10 jam. Tiba-tiba, elektrik terpadam dan save file korang rosak (corrupt). Menangis tak berlagu, kan?

DIT ialah kawan korang yang sangat bijak, yang duduk sebelah korang, tolong back-up game korang setiap 5 minit dalam tiga hard drive berbeza, pastikan grafik game korang tak lag, dan adjust warna TV korang supaya nampak lagi realistik dan cun.

Pendek kata, kalau korang "raja" yang membina istana, DIT ialah "pengawal peribadi" yang memastikan istana itu tak runtuh dan hilang dari muka bumi.


Tugas Sebenar DIT (Bukan Setakat Copy-Paste File, Okay!)

Ramai orang luar (malah ada juga orang industri sendiri, ops!) ingat kerja DIT ni mudah. "Alah, setakat cucuk kad memori kat laptop, lepas tu drag file masuk hard disk, anak/adik aku pun boleh buat!"

Amboi, sedapnya mulut bercakap! Kalau semudah itu, tak adanya pengeluaran filem di platfom seperti Netflix nak bayar gaji DIT mahal-mahal. Ini tugas mereka sebenarnya:

1. Pengurusan Data & Keselamatan Terpaling Ketat (Data Management)

DIT bertanggungjawab memindahkan data dari kad memori kamera (seperti ARRI RAW atau REDCODE atay BRAW) ke dalam storan keselamatan (biasanya sistem RAID). Mereka tidak menggunakan kaedah "drag-and-drop" biasa yang kita buat untuk lagu MP3 (atau movie pirate yang korang download!)

Mereka menggunakan perisian khas untuk melakukan proses yang dipanggil Checksum Verification (seperti MD5 atau XXHash). Ini adalah proses membandingkan "cap jari digital" atau "digital fingerprint" fail asal dengan fail yang disalin. Jika ada satu piksel pun yang beza, sistem akan beri amaran. Selamat bermakna selamat! (Hint: Saya sedang bina sebuah app DIT untuk kegunaan industri filem Malaysia. Insya-Allah akan dikenalkan hujung tahun!)

2. Pengurusan Warna (Colour Management & LUTs)

Kamera filem zaman sekarang merakam dalam format yang dipanggil LOG (singkatan untuk Logarithmic). Visual LOG ini kalau tengok kat monitor, warnanya sangat kelabu, pudar, dan bosan—macam buku mewarna yang belum diwarnakan!

DIT bertindak sebagai "tukang warna ekspres". Mereka akan memasukkan LUT (Look-Up Table)—iaitu penapis warna digital — supaya Pengarah dan DP boleh nampak visual yang cantik dan 'hidup' secara langsung (real-time) di set. Namun ramai masih guna standard Rec.709 (salah satu LUT) diset melalui monitor yang menyediakannya settings ini.

3. Kawalan Kualiti (Quality Control - QC)

Sambil memindahkan data, mata DIT kena tajam macam burung helang. Mereka akan memeriksa setiap shot. Ada "noise" (bintik-bintik digital) tak? Fokus lari tak? Ada sensor kamera yang kotor tak? Kalau ada masalah, DIT kena terus maklumkan kepada DOP sebelum set dirombak atau pelakon balik rumah.

4. Menyediakan "Dailies" (Transcoding)

Fail asal kamera (RAW) bersaiz sangat besar—boleh mencecah beratus-ratus Gigabyte untuk beberapa minit sahaja. Editor di bilik suntingan takkan mampu nak edit fail seberat itu (boleh berasap komputer!).

DIT akan menukar format fail besar ini kepada format yang lebih ringan (proses ini dipanggil transcoding kepada format seperti Apple ProRes atau DNxHR) supaya editor boleh mula kerja dengan lancar keesokan harinya atau kadangakala serta-merta. Di set filem "6 Jilake", terbitan Eartistic Entertainment, kami ada seorang editor yang terus menyunting (secara kasar) di set penggambaran!


Kenapa DIT adalah "Hero Yang Tidak Didendang"?

Mereka Bekerja dalam Gelap (Secara Literal)

Seringkali, stesen kerja DIT (DIT Cart) diletakkan di dalam khemah yang gelap-gelita atau di belakang van. Kenapa? Supaya mata mereka tidak terganggu oleh cahaya matahari luar semasa menilai warna dan exposure pada monitor rujukan. Sementara orang lain dapat vitamin D, DIT pula bertukar menjadi "vampire" demi kualiti visual filem anda!

Tiada Berita yang baik selain Berita Baik

Dalam dunia DIT, sekiranya tiada siapa yang menyebut nama anda sepanjang penggambaran, itu bermakna anda telah melakukan kerja dengan sangat cemerlang. Kenapa? Sebab semuanya berjalan lancar. Nama DIT hanya akan jerit dengan nada panik apabila ada fail yang rosak atau kad memori hilang. Kasihan, kan? Dipuji jarang sekali, dicari bila ada "tragedi". Lumrah industri....

Penyelamat Poket Penerbit (Producer)

Bayangkan kos penggambaran sehari bernilai RM50,000-RM100,000. Jika DIT mengesan kad memori yang rosak pada jam 10 pagi, produksi hanya rugi 2 jam penggambaran. Tetapi jika tiada DIT, dan perkara itu hanya disedari seminggu kemudian di bilik suntingan... nah, penerbit terpaksa bayar RM50,000 lagi untuk penggambaran semula (reshoot). DIT ialah insurans hayat sesebuah filem! Fikir-fikirkan lah..


Gambar hiasan diatas

Gambar ini diambil dari Program MySC (Malaysia Society of Cinematographers) dan ASC (American Society of Cinematographers) pada tahun 2017. Dari kanan saya, adalah MASTERS dalam Sinematografi dunia, Theo Van de Sande, Dean Cundey and James L. Neihouse. Korang Google sendiri siapa mereka ni! Saya serta beberapa rakan telah menjadi DIT support untuk program mereka ketika berada di Kuala Lumpur. Sebuah pengalaman yang tidak boleh saya lupakan.

Saya bertanya kepada Theo Van de Sande, "Sekiranya penerbit anda tidak dapatkan DIT team yang sempurna, bagaimana?" Dia cakap dengan berseloroh, "No DIT, I won't shoot for you!" (Tiada DIT, saya tidak akan shoot untuk kamu!). Semua orang tepuk tangan!

Kesimpulan: Berilah Kasih Sayang Kepada DIT Anda

Lain kali apabila anda menonton filem di pawagam atau siri TV di Netflix, apabila nama Digital Imaging Technician keluar di bahagian kredit hujung yang bergerak laju itu, berilah tabik spring (respect!).

Tanpa mereka, fail filem kegemaran anda mungkin sudah melayang ke alam barzakh digital, dan kita semua hanya mampu menonton skrin hitam kosong.

Kepada para DIT di luar sana: Kami tahu anda penat, kami tahu mata anda pedih menghadap monitor, dan kami tahu anda perlukan lebih banyak kopi hitam (ada DIT yang buat barista on-set sendiri).

Terima kasih kerana menjaga "harta karun" visual Penerbit anda dengan selamat!

p/s Aturkerja atau workflow DIT sebenar di set filem bermula dari filem "Alif 7 Dimensi" (2016) terbitan Astro SHAW dan saya amat berbangga selepas filem tersebut, pihak Astro SHAW memanggil saya untuk memberikan kursus DIT kepada beberapa Penerbit mereka!